Ketetapan MKT adalah mandat daripada PAU – Ahmad Zahid

0
1

KETETAPAN yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam mesyuarat malam tadi adalah kesinambungan daripada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang lalu.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata dalam PAU perwakilan telah menetapkan supaya soal-soal yang berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu dibincangkan oleh ‘Top Five’ parti.

“Perwakilan menetapkan supaya perkara yang mempunyai hubungan dengan soal-soal dan isu-isu parti hendaklah dibincangkan Top Five yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.

“Jadi perkara itu telah dibincangkan oleh Top Five sebelum dibawa ke MKT,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurutnya, keputusan yang telah dinyatakan dalam kenyataan media oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan malam tadi adalah jelas bahawa ianya merupakan penterjemahan kepada ketetapan PAU dan kuasa yang telah dimandatkan kepada kepimpinan parti untuk dibawa bagi makluman dan juga ‘endorsement’ oleh MKT.

“Ia merupakan satu ketetapan oleh MKT kerana memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) akan tamat pada akhir Julai ini.

“Maka MKT membuat ketetapan tidak akan ada MoU 2.0 kerana apa yang telah ditandatangani antara kerajaan dan parti-parti yang berkenaan adalah hanya perjanjian persefahaman dalam bentuk CSA dan ia bersesuaian dengan keperluan ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana tempoh waktu enam bulan dari tarikh MoU ditandatangani itu telah tamat, maka Umno berpendapat tiada keperluan untuk mana-mana pihak mencadangkan MoU 2.0 atau lanjutan kepada perjanjian persefahaman atau mana-mana perjanjian seumpamanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here