PENIPUAN pinjaman tidak wujud dikesan terus mencatatkan jumlah kes tertinggi saban tahun dengan taktik utama digunakan sindiket adalah dengan meminta mangsa membayar wang pendahuluan kononnya perlu dibayar sebelum pinjaman diluluskan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata berdasarkan statistik sepanjang tahun 2019, sejumlah 5,039 kes telah dilaporkan membabitkan penipuan pinjaman tidak wujud dengan kerugian sebanyak RM48,428,531.
“Kes ini meningkat kepada 5,718 kes dengan kerugian sebanyak RM62,397,559 pada 2020 dan pada 2021 pula sebanyak 4,784 kes dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM50,604,323.
“Bagi tahun 2022, sehingga April sejumlah 903 kes telah dicatatkan dengan kerugian RM8,849,603,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, analisa yang dilakukan pihak polis mendapati, satu-satunya cara pihak sindiket mendapatkan wang mangsa dalam kes-kes sebegini adalah melalui bayaran pendahuluan.
“Pelbagai alasan digunakan oleh pihak sindiket untuk mendapatkan bayaran pendahuluan tersebut, antaranya kos perundangan, bayaran surat perjanjian, insurans, CCRIS/CTOS, bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bayaran mengaktifkan akaun dan sebagainya.
“Sebarang wang proses atau yuran yang perlu dibayar akan dimasukkan sebagai sebahagian dari jumlah pinjaman,” katanya.
Menurutnya, dapat disimpulkan apa jua pinjaman yang meminta bayaran pendahuluan adalah satu penipuan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak terjerumus sebagai mangsa kepada sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.
“Sebarang nasihat atau kemusyikilan berkaitan Jenayah komersil, orang ramai boleh merujuk kepada CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya. – Malaysiapost

