Kerajaan perlu jelaskan beberapa isu besar dihadapi negara – Anwar

0
1

KETUA Pembangkang menggesa agar penjelasan diberikan oleh kerajaan tentang beberapa projek nasional yang perinciannya tidak dijelaskan kepada negara dan rakyat.

Menurutnya, memorandum persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah alasan untuk di injak prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pihaknya telah mengusulkan untuk memperuntukkan beberapa hari apabila diadakan sidang khas untuk Anti Lompat Parti untuk membahaskan beberapa isu besar yang dihadapi negara.

Katanya, isu berkenaan adalah mengenai pengurusan kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus kepada rakyat.

“Walaupun ada kemajuan (MoU) dari segi langkah-langkah menangani Covid-19 dan juga sekarang ini Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti. Tetapi ada beberapa isu besar lain yang merupakan skandal kewangan yang belum ditangani.

“Dan saya lahirkan kebimbangan ialah kerana masalah itu terus berterusan. Dulu 1MDB kemudian DNB, kemudian MySejahtera dan Sapura. Yang melibatkan Bursa Saham, Bank Negara, Petronas dan tol yang melibatkan Gamuda,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, semua keputusan yang dibuat berhubung perkara dibangkitkan itu adalah dalam kerahsiaan dan tidak ada ketelusan.

“Jadi kita harus tegaskan di sini jangan gunakan memorandum persefahaman (MoU) diantara PH dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri untuk menutup isu ini.

“Kita menuntut hal ini bukan sahaja dikendalikan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) yang tentunya terbatas kerana terlalu banyak skandal yang timbul setiap hari.

“Jadi saya usulkan diperuntukan beberapa hari untuk membahaskan isu tatakelola kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, masalah rakyat sekarang adalah berkaitan harga barang, harga ayam, bawang, daging yang semua sudah melonjak tinggi.

“Masalah penderitaan rakyat tidak ditangani, tetapi elit politik gunakan kedudukan untuk mengaut kekayaan.

“Jadi kita akan berikan satu tempoh kepada Perdana Menteri untuk menjelaskan hal yang sedemikian. Jangan izinkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berterusan.

“Bukan sahaja isu 1MDB atau Sapura..sebut sahaja masalah yang melibatkan isu pengurusan kewangan dan pelanggaran peraturan yang tidak dijelaskan kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here