
SEBANYAK 18 kes kematian Covid-19 direkodkan semalam dan lima daripadanya disahkan kematian di luar hospital (BID).
Berdasarkan data dimuatnaik di laman web CovidNow, jumlah kumulatif kematian kini mencecah angka 35,381.
Johor, Kedah dan Perak masing-masing mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu tiga kes, diikuti Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing dua) serta Sabah, Sarawak, Terengganu dan Putrajaya (masing-masing satu).
Tiada kes kematian dilaporkan di Kelantan, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 10,413 kes baharu Covid-19 melibatkan 10,386 penularan tempatan dan 27 kes import.
Sehingga tengah malam tadi, 117,785 kes aktif dilaporkan, termasuk 154 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 89 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, sebanyak 13,202 kes sembuh turut dilaporkan semalam. – Malaysiapost
