
KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
PEREKA grafik kontroversi, Fahmi Reza kini disiasat polis kerana kecenderungan menghasut dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian susulan hantaran imej karikatur monyet berpakaian seragam Istana di laman Facebooknya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, mengesahkan mengenai sisatan berhubung hantaran itu yang telah mendapat 12,000 maklum balas, 3,400 Komen dan 966 perkongsian sejak dimuat naik semalam.
Menurutnya, hantaran itu juga telah mengundang kemarahan warganet yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh institusi Diraja serta sensitiviti agama dan kaum.
“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan paltform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya.
Abd Jalil berkata, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Terdahulu Fahmi mendakwa dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman, hari ini berhubung tindakannya memuat naik satira menyerupai beruk memakai tengkolok semalam. – Malaysiapost
