Pemilihan PKR: Rafizi jelajah seluruh negara jumpa ahli, pimpinan akar umbi

0
1

CALON Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bersama pasukannya yang turut bertanding pada pemilihan PKR kali ini, akan menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu ahli dan pimpinan akar umbi.

Rafizi berkata, ia sebagai menghormati adab setiap kali melalui pemilihan.

Katanya, jelajah tersebut turut disertai calon bagi Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta calon-calon lain.

Beliau bagaimanapun memohon minta sekiranya ada yang berkecil hati kerana majlis diadakan di sebelah pagi dan petang dalam bulan Ramadan.

“Tidak ada jamuan, tidak ada majlis besar, sekadar menyampaikan maklumat dan menjawab soalan-soalan anggota yang hadir,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Rafizi, keputusan itu dibuatnya sendiri untuk mengelakkan sebarang kempen di sebelah malam atas dua sebab.

Pertama, katanya, waktu malam di bulan Ramadan sebaiknya waktu peribadi untuk semua dan keluarga beribadah, sebaik-baiknya dipisahkan dari sebarang kegiatan lain, apatah lagi kempen politik.

Yang kedua, menurutnya, sebarang majlis berbentuk kempen sewajarnya dikurangkan unsur bermewah seperti makan berbuka puasa dan menjamu tetamu.

“Pandangan saya ini mungkin kurang popular tetapi ia sesuatu yang wajar kita halusi sebagai parti yang mendukung reformasi budaya politik,” katanya.

Siri jelajah tersebut bermula di Johor pada 16 April ini dan berakhir di Sabah pada 8 Mei.

Dalam pemilihan kali ini, Rafizi bakal berdepan seorang lagi calon Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang kini Setiausaha Agung PKR. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here