NIAT ikhlas pembangkang untuk menyokong perubahan Perlembagaan Malaysia bakal diketahui dalam persidangan khas Dewan Rakyat hari ini membabitkan Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan itu bagi membolehkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti digubal pada masa hadapan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata setiap perubahan Perlembagaan memerlukan undi dua pertiga di dalam Dewan Rakyat.
“Usaha untuk memastikan perubahan Perlembagaan sudah dilaksanakan untuk membolehkan Akta Lompat Parti dilaksanakan. Ini nasihat dari pakar Perlembagaan sekira ianya mahu di realisasikan.
“Muslihat pembangkang mengagalkan Akta Sosma sebelum ini dengan beralasan bahawa ianya tidak dibawa berbincang, kenapa ianya tidak dibawa berbincang, jawapan kegagalan ini boleh ditanya kepada Menteri Dalam Negeri, sehingga hari ini ianya tidak dapat dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sekiranya perkiraan perubahan Perlembagaan ini tidak termasuk dengan perjanjian mereka berkenaan Akta Lompat Parti, maka boleh sahaja sekali lagi kerajaan dimalukan oleh Pembangkang dengan muslihat “Ianya bukan Akta Lompat Parti”.
“Apapun yang akan diputuskan, kita lihatlah sama-sama. Perubahan Perlembagaan ini memerlukan sekurang-kurangnya 147 Ahli Parlimen menyokong pindaan ini.
“Kita lihat muslihat para ahli politik esok hari, kita rakyat biasa hanya mampu berhujah dari luar untuk memberi ingatan,” katanya. – Malaysiapost

