BUAT pertama kali dalam sejarah majlis berbuka puasa oleh Perdana Menteri mendapat sambutan luar biasa daripada pemimpin-pemimpin parti pembangkang.
Hampir kesemua pemimpin utama parti pembangkang hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara Bersama Perdana Menteri di Laman Sari, Seri Perdana, malam tadi.
Keadaan itu dikongsi sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu hantaran dan perkongsian video majlis berkenaan di laman Facebooknya.

“Kali pertama dalam sejarah, majlis berbuka puasa dianjurkan dengan mengumpulkan semua wakil rakyat tanpa mengira parti.
“Semangat kekeluargaan perlu diterapkan dari pucuk kepimpinan, untuk dicontohi oleh rakyat segenap lapisan di negara ini,” katanya dalam hantaran itu.
Beliau berkata, semangat kekeluargaan itu juga akan menjamin kestabilan politik negara dan seterusnya menjadi anjakan besar untuk negara kita bangkit kembali, bukan sahaja untuk kemajuan ekonomi tetapi juga kesejahteraan rakyat di negara ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dewan rakyat serta ahli dewan negara yang hadir berbuka puasa pada kali ini,” katanya.
Antara yang hadir dalam majlis malam tadi adalah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Turut hadir lebih 200 Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara termasuk Menteri-Menteri Kabinet serta anak-anak yatim dari Raudhatul Al Faeez, Gombak.
Kehadiran hampir kesemua pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang jelas menunjukkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri.
Perpaduan yang utuh ini dilihat akan dapat memastikan negara terus melangkah ke hadapan keluar daripada pandemik Covid-19. – Malaysiapost

