Manfaatkan Ramadan banyakkan sedekah, berinfaq

0
1
Pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Zaid bin Haritsah bertadarus Al-Quran mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Zaid bin Haritsah Jalan Gombak Kuala Lumpur.

UMAT Islam harus berusaha meningkatkan kualiti takwa dalam diri, agar dapat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkan segala larangan-Nya.

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk ‘Ramadan Dirai, Ukhuwah Di Hati’, hari ini menjelaskan kegembiraan menyambut kedatangan Ramadan disebabkan oleh terdapat banyaknya tawaran yang dijanjikan ganjaran yang lumayan.

Keberkatan bulan ini menjadi pemangkin kepada perubahan diri seseorang menuju kepada yang lebih baik. Ramadan membuka banyak pintu kepada kita untuk meraih seberapa banyak kebaikan dan rahmat dari Allah SWT.

Dalam Bulan Ramadan, antara peluang yang dibuka pintu ganjaran seluas-luasnya ialah dengan menginfaqkan harta pada jalan Allah SWT.

Menginfaqkan harta boleh dengan pelbagai cara seperti bersedekah, memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, berwakaf harta dan lain-lain lagi.

Allah SWT memuliakan orang-orang yang bersedekah dan menjanjikan balasan yang berlipat kali ganda dari sedekah yang dilakukan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 18 bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia”.

Itulah antara janji Allah SWT kepada orang yang gemar bersedekah dan menginfaqkan hrtanya. Maka, tidakkah kita tertarik dengan janji yang ditawarkan oleh Allah SWT? Sedangkan Dia tidak memungkiri janji.

Ibadah puasa yang kita jalani ini merupakan salah satu manifestasi ketaatan kita kepada Allah SWT.

Di samping itu, puasa juga menjadi pemangkin seseorang dalam usaha memperkukuh solidariti sesama manusia sama ada sesama Muslim mahupun berlainan agama.

Ibadah ini bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Setiap ibadah yang disyariatkan ke atas kita mempunyai hikmah

Hikmah ibadah tidak hanya memberi kesan positif kepada individu yang melaksanakannya, bahkan ia memberi kebaikan yang banyak kepada persekitarannya.

Begitu juga dengan ibadah puasa yang sedang kita jalani ketika ini. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW sangat menganjurkan untuk kita memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.

Maksudnya; “Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun dari pahala orang puasa tersebut”. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Dalam meraikan Ramadan al-Mubarak, ukhuwah sesama kita mesti subur mekar dalam hati.

Jadi, gunakan kesempatan bulan yang berkat ini untuk membantu saudara-saudara di sekeliling kita yang sebahagiannya terkesan dengan pandemik Covid-19.

Indahnya hidup jika kita saling membantu antara satu lain dan saling mendoakan kebaikan. Rebutlah peluang menjadi pemberi semampu kita.

Marilah kita imarahkan Bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan kebajikan dan menginfaqkan sebahagian harta seperti bersedekah dan berwakaf.

Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan dalam sifat kedermawanan Baginda SAW. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW merupakan insan yang sangat pemurah dalam kalangan umat manusia dan baginda memaksimakan lagi kemurahan hati baginda dalam Bulan Ramadan.

Manfaatkanlah Bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan sumbangan infaq dan berwaqaf menerusi medium berautoriti kerana ia juga bertepatan dengan Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2022 yang telah diadakan pada 3 April 2022.

Bertemakan: “Wakaf, Mensejahterakan Keluarga Malaysia”. Diharapkan sambutan ini berupaya membentuk sistem masyarakat yang sejahtera dan mengindahkan iklim persaudaraan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here