PAKATAN Harapan (PH) perlu mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan hala tuju gabungan itu susulan penangguhan sekali lagi pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, kata Ronnie Liu.
Pemimpin DAP itu membuat gesaan berkenaan susulan laporan terbaharu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendakwa, Kabinet tidak bersetuju RUU itu dibentangkan.
RUU Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.
“(Kini) masanya untuk PH mengadakan mesyuarat tergempar bagi memutuskan langkah seterusnya,” katanya seperti dilapor FMT.
Beliau mendakwa penangguhan berkenaan adalah ‘taktik melengahkan’ pembentangan RUU Anti Lompat Parti di pihak kerajaan Barisan Nasional-Perikatan Nasional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu juga menekankan sekiranya RUU itu tidak diluluskan, maka ia boleh melemahkan keinginan dan minat pengundi untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-15, selain tindakan lompat parti adalah sindiran terhadap proses demokrasi.
Liu yang juga ahli Jawatankuasa Pusat Eksekutif Pusat DAP, turut menggesa gabungan pembangkang membatalkan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dimeterai dengan kerajaan.
“Saya sebenarnya berat hati bersetuju dengan MoU itu disebabkan kemungkinan untuk undang-undang anti lompat parti diluluskan. Saya tahu hakikatnya MoU itu membawa kerosakan besar kepada kredibiliti PH.
“MoU itu perlu dibatalkan demi melindungi imej PH atau ia berisiko hilang kredibilitinya sebagai suara pembangkang yang bertanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

