Bersatu tidak tolak secara kolektif RUU Akta Anti Lompat Parti – Wan Saiful

0
1

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan laporan sebuah akhbar arus perdana yang mendakwa parti itu menolak secara kolektif pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti.

Beliau berkata, laporan Utusan Malaysia itu ternyata bercanggah daripada hasil perbincangan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diadakan pada 5 April lalu.

“Laporan Utusan Malaysia ini langsung tidak melambangkan semangat perbincangan dalam mesyuarat MPT pada 5 April lalu,” katanya menerusi Facebook.

Menurutnya, Bersatu sentiasa komited dalam memastikan reformasi institusi berjalan dengan baik dan tidak pernah menyatakan pendirian rasminya menolak secara kolektif pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan.

“Bersatu menghantar wakil ke sesi-sesi konsultasi mengenai Anti Lompat Parti dan Akta Menghadkan Tempoh Khidmat Perdana Menteri.

“Dalam setiap sesi, kami menyuarakan pandangan secara konstruktif untuk memastikan kerajaan dapat menghasilkan draf yang terbaik untuk negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia menyiarkan berita berkaitan RUU berkenaan dengan tajuk ‘RUU: Bersatu bantah syarat kosongkan kerusi’.

Wan Saiful menjelaskan, Ahli MPT Bersatu seperti Datuk Mas Ermieyati Samsudin adalah Timbalan Menteri yang memainkan peranan penting dalam proses menyediakan draf Akta-Akta ini.

“Tidak pernah ada penolakan kolektif seperti yang didakwa. Saya tidak tahu sumber mana yang dipetik (laporan berita) dan apa niat disebalik ulasan tersebut.

“Pandangan rasmi parti akan dinyatakan apabila kita mendapat salinan draf yang sebenar,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) berkenaan di Dewan Rakyat.

Jelasnya, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here