CUBAAN seorang wanita warga China membawa masuk sosej daging babi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gagal susulan bahan tersebut ditemui dalam bagasi dibawanya.
Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, wanita itu ditahan pada jam 3 petang, 26 Mac lalu.
Hasil pemeriksaan bagasi milik wanita berkenaan, Maqis menemukan sosej seberat 10 kilogram (kg) bernilai RM350.
“Beberapa sampel telah diambil daripada sosej daging babi tersebut bagi diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV) dan hasil ujian mendapati sosej itu positif untuk pengesanan penyakit African Swine Fever (ASF).
“Prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan babi negara terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas kenyataan itu, semua sosej yang dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.
Menurutnya, Malaysia mengenakan larangan membawa masuk produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit ASF termasuk penumpang di laluan udara yang membawa bagasi ‘hand carry’ bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF.
“Virus ASF ini tidak akan menjangkiti manusia. Ia hanya menjangkiti babi, sama ada babi peliharaan atau babi hutan.
“Penyakit ASF sangat mudah merebak dan mampu menyebabkan kadar kematian yang sangat tinggi sehingga 100 peratus dalam segerombolan babi peliharaan di mana ia boleh melumpuhkan industri ternakan babi dalam masa singkat,” katanya.
Justeru, katanya, penyampaian maklumat mengenai penyakit ASF akan dipertingkat agar rakyat Malaysia dan pelancong peka mengenai larangan yang dikenakan ke atas pengimportan dan kemasukan produk babi ke Malaysia. – Malaysiapost

