SATU daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes dan mendedahkan golongan itu kepada jangkitan Covid-19 dan mempunyai simptom yang serius.
Perkara itu didedahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati peratusan pesakit diabetes di Malaysia meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019.
“Laporan ini menunjukkan satu daripada lima orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes.
“Ia bersamaan dengan hampir empat juta rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran maya kempen Perang Melawan Diabetes oleh Selangor FC dan syarikat farmaseutikal Sanofi Aventis Malaysia, hari ini, lapor The Star.
Khairy berkata diabetes juga membawa kepada penyakit serius lain seperti serangan jantung; penyakit berkaitan penglihatan seperti glaukoma dan katarak; penyakit buah pinggang kronik; serta masalah saraf dan pergigian, termasuk strok.
Menurutnya, penghidap diabetes adalah tiga hingga empat kali lebih berkemungkinan dijangkiti simptom Covid-19 yang serius berbanding individu yang tidak mempunyai penyakit itu.
“Kencing manis bukan sahaja dikait dengan pengambilan gula secara berlebihan, malah berkait rapat dengan pemakanan tidak terkawal dan amalan gaya hidup tidak sihat.
“Jadi adalah penting untuk kita semua mengekalkan diet sihat dan seimbang serta mengamalkan gaya hidup aktif,” katanya.
Justeru, Khairy menggesa ibu bapa supaya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka dengan mengamalkan tabiat hidup sihat. – Malaysiapost

