TUN Dr Mahathir Mohamad terus ‘menyerang’ Datuk Seri Najib Razak, kali ini menerusi perkongsian gurindam bertajuk ‘Sebut Nama’ yang dimuatnaik di Facebooknya.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menyindir Najib yang masih popular walaupun telah dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM220 juta.
“Jangan sebut nama Najib kerap. Dia akan jadi lebih popular.
“Lupakan sahaja nama Najib. Lupakan dia curi duit. Lupakan dia dibicara dan didapati salah. Dia dihukum 12 tahun penjara dan denda dua ratus dua puluh juta ringgit.
“Jangan sebut. Kalau sebut nama Najib dia akan lebih disukai ramai. Orang yang popular dalam negara demokratik akan jadi pemimpin, jadi Perdana Menteri pun,” katanya.
Seperti kebiasaannya, Dr Mahathir akan menyerang Najib bekas Perdana Menteri keenam dengan perkataan seperti pencuri namun kali ini tiada perkataan penyamun atau perompak diluahkan.
“Perdana Menteri boleh curi berbilion Ringgit. Jangan sebut nama pencuri ini. Ia akan jadi popular, jadi Perdana Menteri dan curi duit lagi.
“Jangan sebut nama dia. Di mahkamah jangan sebut nama dia. Maka keadilan akan berlaku. Kena hukum. Tetapi tak payah jalan hukum. Diam sahaja. Jangan sebut nama dia.
“Kalau tak sebut nama orang yang salah, nak sebut nama siapa. Sebutlah nama siapa pun. Tak mengapa. Itu keadilan di Malaysia,” katanya.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi secara sinis memperlekehkan perundangan negara yang turut mengaitkan kredibiliti Peguam Negara.
“Boleh tarik balik kes. Ada Peguam Negara (AG) untuk ini. Jika tak ada, tukar AG sahaja. Jangan sebut nama. Akan kena sue kerana menghina.
“Tak ada duit nak bayar peguam. Itu masalah awak. Undang-undang tentang tidak sebut nama masih berkuasa. Tak dapat bayar peguam masuk dalam sahaja. Itu undang-undang. Negara utama the Rule of Law, pemerintahan mengikut undang-undang. Kelentong sedikit dari undang-undang tak mengapa.
“Jangan tegur. Itu contempt of court, menghina mahkamah. Itu salah. Lebih baik lari ke negara lain. Jika tidak. Masuk dalam. Itu keadilan,” katanya. – Malaysiapost

