Bantuan khas Aidilfitri untuk warga, veteran ATM

0
1

BANTUAN Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 yang diumumkan kerajaan semalam, turut merangkumi pegawai dan anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sama ada berpencen mahupun tidak berpencen.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, mengesahkan perkara tersebut hari ini.

“Dijangkakan seramai 120,615 pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat, serta lebih kurang 200,000 veteran ATM bakal menerima manfaat bantuan khas kewangan ini.

“Bagi veteran ATM yang masih belum berdaftar dengan JHEV, disarankan agar segera melakukan pendaftaran dengan JHEV sekaligus membolehkan manfaat bantuan khas kewangan ini dinikmati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pihaknya percaya bantuan khas kewangan itu sedikit sebanyak akan dapat membantu anggota dan veteran ATM melakukan persiapan menjelang sambutan perayaan pada 1 Syawal.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Kabinet kerana mengambil kira anggota dan veteran ATM dalam pemberian bantuan khas tersebut serta bantuan lain sebelum ini.

“Ini bukan sahaja menggambarkan keprihatinan terhadap soal kebajikan warga ATM tetapi juga menyerlahkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi terhadap jasa serta pengorbanan para anggota dan veteran ATM kepada negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, dan sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

Pemberian bantuan khas itu termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April iaitu pada 25 April 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here