SERAMAI 91 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) termasuk MUDA bersetuju untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk menghalang wakil rakyat melompat parti.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menerusi hantaran terbaharu beliau di Facebook miliknya hari ini.
“Pagi ini, saya bertemu dengan Presiden MUDA, saudara Syed Saddiq (Abdul Rahman) di Petaling Jaya. Kami membincangkan persiapan untuk Sidang Khas Parlimen pada minggu depan.
“Saudara Saddiq memberikan komitmen untuk menyokong RUU Pindaan Perlembagaan untuk menghalang tindakan lompat parti.
“Setakat ini, sudah ada 91 Ahli Parlimen (90 PH + 1 MUDA) yang menyatakan komitmen terbuka menyokong Pindaan Perlembagaan tersebut,” katanya.
Justeru, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban meminta semua Ahli Parlimen untuk menyokong penggubalan RUU Anti Lompat Parti yang akan dibentang di Dewan Rakyat minggu hadapan.
“Saya menyeru setiap parti yang mempunyai wakil di Parlimen untuk menyatakan pendirian mereka secara terbuka.
“Pindaan ini hanya akan berjaya dengan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat iaitu minima 148 ahli menyokong,” katanya. – Malaysiapost

