Polis sahkan penemuan rangka dipercayai warga Malaysia di Australia

0
1

POLIS mengesahkan rangka yang ditemui pihak berkuasa Australia adalah lelaki warga Malaysia yang berasal dari Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihakya turut mengesahkan laporan media tempatan berhubung kematian seorang lelaki yang dipercayai warganegara Malaysia di negara itu adalah benar.

“Pada 3 April lalu, pihak berkuasa Australia menemui satu rangka manusia di New South Wales yang dipercayai dibunuh lebih setahun lalu.

“Hasil semakan mendapati mangsa dipercayai warga Malaysia berusia 25 tahun yang berasal Sarawak.

“Mangsa dipercayai masuk ke Australia pada November 2016 menggunakan visa pelancong dan ditawarkan bekerja sebagai pekerja ladang oleh sindiket warga asing yang disyaki terbabit dengan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayob Khan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimaklumkan perkembangan siasatan kematian lelaki rakyat Malaysia di Australia oleh pihak berkuasa negara itu.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa Australia dan sebarang perkembangan siasatan akan dimaklumkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

“PDRM menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan timbul sebarang kekeliruan kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pihak berkuasa Australia menemui mayat lelaki dipercayai warga Malaysia di kawasan luar bandar di barat laut Bathurst di New South Wales, pada Ahad.

Mayat didakwa Jacky Chong Kai Wong itu ditemui kira-kira 3.30 petang selepas penyiasat memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

Chong dipercayai meninggal dunia antara 25 Disember 2020 dan 8 Januari 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here