PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melihat semula Sistem Pengawasan Data Penerbangan dalaman Malaysia Airlines Bhd (MAB) berhubung insiden sebuah pesawat syarikat itu yang berpatah balik, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Chester Voo, berkata perkara itu penting bagi memantau dan merekodkan semua profil data penerbangan pesawat berkenaan.
Menurutnya, data awal menunjukkan maklum balas yang betul daripada kru operasi berhubung isu teknikal ini.
“Kami sedang berhubung rapat dengan MAB untuk memastikan segala perkara berkaitan keselamatan teknikal ditangani sebaiknya mengikut segala prosedur keselamatan dan peraturan termasuklah maklum balas juruterbang dan proses airworthiness bagi jenis pesawat berkenaan.
“Kami juga akan terus memantau situasi ini dan tidak akan berkompromi atas sebarang isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan sekuriti operasi syarikat penerbangan dan orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Chester berkata, pihaknya juga mengesahkan satu Mandatory Occurrence Report telah diterima dari MAB berhubung pesawat MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata pesawat berkenaan telah berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan dan mendarat dengan selamat pada pukul 5.03 petang.
Katanya, juruterbang dan pembantu juruterbang juga telah mengendalikan isu teknikal tersebut dengan selamat dan pesawat berkenaan kembali ke Kuala Lumpur bagi tujuan penyelenggaraan.
Terdahulu, tular di laman Facebook hantaran seorang wanita berkongsi detik cemas apabila pesawat yang dinaikinya tiba-tiba turun dari ketinggian 25,000 kaki kepada 23,000 kaki hanya dalam beberapa saat.
Pemilik akaun bernama Halimah Nasoha berkata, dia menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Tawau pada jam 2.30 petang, kelmarin.
Katanya, selepas 30 minit berlepas dari lapangan terbang sekitar jam 3.03 pesawat berkenaan secara tiba-tiba berada dalam keadaan tidak stabil apabila ketinggian pesawat itu naik dan menjunam beberapa kali. – Malaysiapost

