POLIS tetap meneruskan usaha mengesan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk dibawa pulang bagi menghadapi proses pengadilan di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata nama ahli perniagaan itu sudah berada dalam senarai individu dikehendaki kategori notis merah oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL).
“Kita masih buru Jho Low dan siasat di negara mana ahli perniagaan itu bersembunyi. Dalam hal ini, kita mendapat kerjasama INTERPOL.
“Bagaimanapun, tiada maklumat atau perkembangan baharu berhubung kes berkenaan boleh dikongsikan setakat ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa Malaysia untuk membawa ahli perniagaan itu pulang namun setakat ini masih menemui jalan buntu. – Malaysiapost

