Jangan guna isu rakyat untuk raih populariti politik – DPIM

0
2

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyelar Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang dilihat cuba menggunakan isu rakyat untuk meraih kembali populariti politik peribadi selepas lama menyepikan diri.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata umum mengetahui bahawa Rafizi mengumumkan bercuti dari politik setelah tewas pemilihan parti kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika itu.

Menurutnya, walaupun dilantik ke kerusi Naib Presiden untuk berkhidmat kepada rakyat, beliau tetap memilih untuk bercuti dan selepas beberapa tahun menyepi, kembali dengan pengumuman mengidamkan jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Kini, kemunculan Rafizi seolah-olah canggung di dalam parti sendiri. Beliau kemudiannya menggunakan populariti Datuk Seri Najib Razak dalam isu Sapura untuk meraih populariti politik dalam masa singkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menyentuh isu Sapura, DPIM menyarankan kerajaan untuk menyelamatkan dana PNB yang dilaburkan ketika Pakatan Harapan (PH) agar pelaburan rakyat tidak hangus begitu sahaja dek kerana mainan dan sentimen politik.

“Namun begitu, DPIM menegaskan agar PNB melalui Sapura untuk mengehadkan pengagihan pendapatan kepada individu-individu yang berkepentingan di dalam Sapura.

“Berdasarkan Laporan Kewangan 2021, sebanyak RM 10.5 juta diagihkan kepada 18 orang ahli-ahli lembaga pengarah dan pengarah eksekutif. Ini adalah tidak masuk akal di kala PNB terpaksa menyuntik dana rakyat untuk menyelamatkan syarikat negara,” katanya.

Sementara itu, Shahir berkata dalam isu hudud pula Rafizi juga aktif menghentam Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan sindiran-sindiran tidak masuk akal seolah-olah tandas lebih penting daripada isu hudud.

“Hudud merupakan satu konsep dalam tatacara kehidupan umat Islam. Tandas pula adalah keperluan asas setiap rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Jangan disebabkan konsep hudud yang masih belum direncanakan oleh orang politik dek kerana ketidakstabilan di Dewan Rakyat, rakyat pula sengsara dengan keperluan asas yang teruk seperti tandas,” katanya.

Beliau berkata, DPIM menyokong penuh usaha Tuan Ibrahim dalam melestarikan tandas-tandas awam, terutama di rumah-rumah ibadat dan fasiliti awam lain dalam usaha memperkasa sistem pembentungan di negara kita.

“Di saat kerajaan terpaksa melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pembangkang agar sistem demokrasi dan pemerintahan kerajaan tidak runtuh, isu rakyat sejagat perlu diberi perhatian,” katanya.

Menurutnya, rakyat mendapat tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal di saat ramai masih tercari-cari ruang dan pekerjaan untuk menyara keluarga.

“DPIM menggesa semua ahli politik untuk tidak menggunakan isu rakyat untuk kepentingan politik peribadi.

“Semua pihak seharusnya bersama-sama membantu rakyat dan negara agar keluar dari kegawatan ekonomi yang melanda,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here