SELEPAS 24 jam menghadiahkan seorang penjual askrim sebuah Perodua Bezza, pendakwah dermawan terkenal, Ebit Lew tampil memberi Proton Saga BLM kepada seorang lelaki yang menjaga isterinya merupakan orang kelainan upaya (OKU), hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Ebit memberitahu sebak melihat video tular di media sosial yang memaparkan lelaki itu sedang menolak isterinya dengan kerusi roda ‘wheely’ tayar di lampu isyarat Bagan Dalam di Pulau Pinang.

“Pasangan suami isteri ni ada kad OKU. Sedih tengok suami isteri ni. Ujian mereka.
“Semalam dari Terengganu terus ke Pulau Pinang. Semalam hadiahkan Perodua Bezza, hari ni Proton Saga BLM,” katanya dalam hantaran itu.

Ebit berkata, beliau bersyukur kerana urusan pembelian kereta yang dibuat secara tunai dipermudahkan dan mendapat layanan yang baik daripada pemilik kedai kereta.
“Menangis gembira kakak ni. Kenal saya. Terkejut dan tak sangka sampai ke sini. Kakak terkejut tak sampai sejam selesai dapat kereta baru.

“Syukur rasa walau berbuka di jalan. Hari ni sahur dan buka puasa di kedai tepi jalan je. Semoga Allah terima semuanya,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan lelaki menolak isteri serta anaknya yang berada di atas kerusi roda, ketika cuaca panas terik di sebuah lampu isyarat. – Malaysiapost

