Berbuka awal 4 minit gara-gara DJ radio silap siar azan

0
1

Nurul Huda Abhar

KESILAPAN pengumuman waktu azan menyebabkan orang ramai di Tawau, Sabah berbuka puasa lebih awal pada hari pertama Ramadan, hari ini.

Situasi tersebut dipercayai berlaku berikutan masalah teknikal pengumuman azan Maghrib bersiaran lebih awal daripada waktu yang sepatutnya.

Susulan itu, penyampai radio Tawau FM, Mohd Safwan Junit yang bertugas tampil menjelaskan berkenaan kekeliruan yang berlaku petang tadi.

“Saya, Mohd Safwan bin Junit, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan maghrib telah disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.

“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 petang telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya, menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu.

“Hal ini disebabkan oleh kesilapan teknikal dan kesilapan diri saya sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam masa sama, Mohd Safwan memohon maaf kepada warga Tawau di atas insiden tersebut.

“Oleh itu, saya dengan rendah diri, secara peribadi, memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan keadaan ini. Kesilapan ini adalag kesilapan dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau atau Tawau FM.

“Yang baik datangnya dari Allah, dan yang kurang itu datangnya dari diri saya sendiri. Mohon share permohonan maaf ini,” ujarnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here