PM ingatkan jangan leka cegah penularan Covid-19 sepanjang Ramadan

0
2

UMAT Islam di Malaysia diingatkan agar tidak leka sepanjang meraikan Ramadan dengan terus mengamalkan kawalan kendiri bagi mencegah penularan Covid-19 walaupun kelonggaran sudah diberikan termasuk bagi menunaikan ibadah di masjid.

Peringatan itu disuarakna oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, sepanjang diuji dengan pandemik Covid-19, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh, manakala solat fardu dan tarawih berjemaah terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ismail Sabri berkata, Malaysia kini berada dalam fasa peralihan ke endemik bermula semalam yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal, dapat merapatkan saf untuk menunaikan solat fardu dan tarawih secara berjemaah serta menyemarakkan program ihya Ramadan, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Kita percaya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan lalu. 

“Walaupun diberikan kelonggaran, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan. Jangan leka dan terus mengamalkan kawalan kendiri,” ucapnya sempena Ramadan 1443 Hijrah yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam tadi. 

Perdana Menteri turut menegaskan, amat penting bagi umat Islam memelihara hubungan, bukan sahaja dengan Maha Pencipta, tetapi juga sesama manusia.

“Ramadan bulan penuh barakah ini adalah peluang untuk menginsafi diri dan mengumpul pahala dengan memperbanyak amalan bersedekah. 

“Semoga Ramadan dapat memperkuatkan aspek rohani Keluarga Malaysia. Saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here