BN menang PRN sebab undi anti-BN pecah – Muhyiddin

0
2

BERSATU sedang mengambil inisiatif politik berhubung cadangan merintis hubungan kerjasama antara parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. 

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui selepas selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan pandangan supaya parti selain Barisan Nasional (BN) merintis satu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15.

Justeru, Muhyiddin berkata, pertemuannya dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira dua minggu lalu adalah sebahagian daripada inisiatif berkenaan, yang diatur selepas seorang pemimpin kanan Pejuang datang menemuinya.

“Ini adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan pemimpin parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat,” kata Muhyiddin melalui kenyataan di Facebook, hari ini.

Kelmarin, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Muhyiddin bertemu Dr Mahathir kira-kira dua minggu lalu dan mencadangkan kerjasama kedua-dua parti itu untuk menghadapi PRU-15.

Namun, semalam Dr Mahathir menjelaskan bahawa Muhyiddin pernah meminta sokongannya dalam usaha untuknya menjadi Perdana Menteri sekali lagi. 

Mengulas mengenainya, Muhyiddin berkata, pemimpin parti politik yang menemuinya sedar majoriti rakyat tidak menyokong BN yang didakwa masih terpalit dengan imej kleptokrasi, namun disebabkan berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

“Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak majoriti rakyat.

“Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa. Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik,” katanya.

Pada PRN Melaka, BN memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala pada PRN Johor, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here