STATUS permohonan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 akan boleh mula disemak seawal 9 April ini.
KWSP dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memaklumkan mengenai perkara itu.
Pencarum juga diingatkan bahawa permohonan pengeluaran khas itu boleh dibuat bermula hari ini sehingga 30 April 2022.
“Untuk kelancaran urusan permohonan anda, sila ke portal Pengeluaran Khas di https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/ untuk lakukan permohonan.
“Untuk makluman, status permohonan boleh disemak bermula 9 April 2022,” katanya.
Sementara itu ruang komen di hantaran berkenaan turut dihujani pelbagai pertanyaan berhubung permohonan berkenaan selain aduan mengenai masalah teknikal yang dihadapi oleh pemohon.
“Nak tanya semalam pukul 10.23 malam saya dah memohon pengeluaran khas RM10,000 melalui portal KWSP sendiri.
“Tak sukar sebab maklumat peribadi dah ada cuma nak tanya jika memohon awal sikit pada 31 Mac, sama sahaja kan dengan yang memohon mulai 1 April. Akan tahu lulus atau tidak pada 9 April nanti kan? tanya Nor Muhamad Roslam Harun.
Berhubung pertanyaan itu, pihak KWSP memaklumkan ia adalah sama dan semakan status permohonan hanya boleh dibuat mulai 9 April 2022.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook Nurul Arisa Zainuddin mendakwa beliau sudah membuat permohonan malam tadi, namun terdapat masalah dalam permohonan itu.
“Saya dah mohon semalam tetapi masa saya klik captcha saya terus tekan hantar dan saya dapat kod 004. Katanya kena hubungi KWSP khas pengeluaran.
“Saya tak sedap hati dan cuba lagi sekali tetapi sudah tidak boleh masuk sebab katanya saya dah mohon..mohon bantuan KWSP…saya dah call talian KWSP semua sibuk…perlu ke saya ke kaunter KWSP..mohon bantuan sangat-sangat,” katanya.
Masalah sama turut dihadapi oleh individu dikenali sebagai Cikie Tie yang mendakwa diminta menghubungi talian Hotline Pengeluaran Khas.
“Kod Ralat 201 sila hubungi talian hotline pengeluaran khas di 03-89224848 dan nyatakan kod ralat sebagai rujukan. Kenapa jadi macam ini?” soalnya. – Malaysiapost

