Sewa rumah tertunggak, ibu tunggal terpaksa menumpang di pondok pengawal

0
1

SEORANG ibu tunggal terpaksa meminta bantuan daripada aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali dengan gelaran Uncle Kentang selepas rumah sewanya dikunci oleh pemilik rumah susulan sewa rumah tertunggak sebanyak RM850.

Menurut Chee Heng, wanita terbabit menghubunginya pada jam 4.38 pagi tadi, mengadu masalah yang dihadapinya hingga terpaksa menumpang di pondok pengawal.

Beliau berkata, wanita terbabit turut mempunyai seorang anak kecil yang berusia dua tahun dan terpaksa ditinggalkan di rumah pengasuh kerana rumah sewanya sudah dikunci.

“Panggilan telefon pagi ini adalah penuh dengan tangisan…walaupun aku anak Cina…perempuan Melayu telefon mengadu..kerana aku dan kamu semua adalah Anak Malaysia.

“Saya menerima telefon ibu tunggal menangis pagi tadi jam 4.38 pagi. Tak tahu lah..saya rasa hiba dan saya rasa sangat gembira pagi ini kerana anda semua berjaya mengumpul duit yang mencukupi untuk membayar tunggakan sewa rumahnya.

“Saya pastikan mangga rumah itu akan di buka semula. Tahniah ibu tunggal. Masalah diselesaikan pagi ini juga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata wanita terbabit bekerja ‘banquet’ dan ketika kejadian dia baru pulang bekerja di Sunway Hotel namun tidak dapat masuk rumah.

“Ibu tunggal itu terpaksa berteduh di pondok pengawal bersama pengawal warga Bangladesh setelah rumah sewa dikunci kerana sewa tertunggak RM850.

“Kita tolong ibu tunggal Melayu ini kerana ada usaha dari beliau. Malam ada kerja banquet lagi. Ada anak umur dua tahun. Beliau berusaha cari rezeki. Tapi malang kerja banquet bukan ada banyak sekarang pasal Covid-19,” katanya yang melancarkan tabung kilat bagi membantu wanita terbabit.

Chee Heng berkata, beliau sedih mengenangkan nasib wanita terbabit yang sudah berusaha mencari rezeki termasuk terpaksa pergi kerja menaiki e-hailing.

“Pergi balik naik Grab sudah separuh gaji beliau kerana beliau tak ada kenderaan. Tak boleh naik bas sebab awal pagi tiada perkhidmatan bas bila habis kerja jam 2 pagi. Tinggal berapa sahaja gaji dia,” katanya.

Menurutnya, wang kutipan bagi membantu ibu tunggal itu sudah mencukupi dan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu.

“Berjaya di kutip duit sewa rumah untuk ibu tunggal di Cheras Taman Segar. Hati saya sejuk melihat kita semua bertungkus lumus bantu ibu tunggal ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here