Aiman Hanif
PENGURUSAN aplikasi MySejahtera oleh syarikat yang berkait dengan warga asing menimbulkan keraguan berhubung keselamatan data membabitkan 38 juta penggunannya.
Syarikat Kpisoft(M) Sdn Bhd ataupun Entomo Malaysia Sdn Bhd telah dilantik oleh kerajaan untuk menguruskan aplikasi MySejahtera.
Berdasarkan carian Malaysiapost, syarikat yang diberi kebenaran menguruskan aplikasi berkenaan berkait rapat dengan syarikat berpangkalan di Singapura.
Entomo adalah syarikat yang dimiliki oleh Entomo Pte Ltd, sebuah syarikat milik rakyat Singapura.
Selepas mengambil alih aplikasi berkenaan, syarikat terbabit mempunyai hak mutlak ke atas aplikasi MySejahtera dan bagaimana jaminan keselamatan data orang awam menimbulkan persoalan.
Dalam pada itu, memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata sehingga hari ini, tiada sebarang penjelasan mengenai menteri mana yang telah menandatangani kelulusan berhubung monopoli data pengguna tersebut kepada Entomo.
Oleh itu katanya, Datuk Seri Adham Baba atau Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masing-masing merupakan menteri kesihatan dan Perdana Menteri ketika aplikasi MySejahtera itu dibangunkan, mesti memberi penjelasan.
Katanya, mereka perlu memberi alasan di sebalik pemilihan Entomo untuk membangunkan aplikasi itu.
Fahmi turut melahirkan kebimbang aplikasi MySejahtera akan mengulangi kegagalan Nuemera Sdn Bhd, yang terlibat dalam kes kebocoran data peribadi, melibatkan 46.2 juta pengguna.
“Aplikasi MySejahtera, jika anda lihat semula ketika penubuhannya, mana-mana pihak yang meluluskan KPISoft Sdn Bhd (kemudian dinamakan semula kepada Entomo Malaysia Sdn Bhd) untuk membangunkan aplikasi ini dan seterusnya memonopoli semua data sedia ada, terlalu banyak modus operandi yang mengingatkan saya kepada Nuemera,” katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.
Jelasnya, sama seperti MySejahtera, Nuemera telah dianugerahkan untuk monopoli data daripada syarikat telekomunikasi pada 2014 yang memaksa syarikat berkenaan menyerahkan semua data pengguna mereka kepada Nuemera.
Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua menteri berhubung Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera dalam prosiding yang dijangka bermula pertengahan bulan depan.
Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata sebagai permulaan, PAC akan memanggil Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.- Malaysiapost

