NEGARA bakal memasuki fasa peralihan ke endemik bermula esok dan kes Covid-19 di Malaysia dilaporkan dalam keadaan terkawal, kata Menteri Kanan Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, gelombang varian Omnicron juga adalah terkawal dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) wabak berkenaan bagi seluruh negara kini adalah 0.88.
Beliau berkata, sistem kesihatan awam negara juga cukup untuk menampung kapasiti pesakit.
“Esok kita masuk fasa peralihan ke endemik.
“Gelombang Omicron terkawal, angka Rt negara 0.88 dan sistem kesihatan awam cukup kapasiti,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Khairy bagaimanapun menasihatkan agar seluruh rakyat Malaysia sentiasa berhati-hati.
“Terus pakai pelitup muka. Amalkan TRIIS. Yang belum ambil booster (dos penggalak) dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), buat temujanji,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan infografik yang dikongsikan beliau, jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia yang dicatatkan setakat tengah malam tadi adalah sebanyak 15,941 kes menjadikan jumlah kumulatif 4,183,359 kes setakat ini.
Jumlah kemasukan pesakit ke hospital pula adalah sebanyak 1,267 kes dengan kadar penggunaan wad keseluruhan adalah 64.5 peratus dan kadar penggunaan bagi Covid-19 adalah 38.2 peratus.
Kadar kematian keseluruhan akibat Covid-19 yang dilaporkan setakat semalam adalah 34,939 kes termasuk 33 kematian baharu direkodkan membabitkan 11 kes kematian luar hospital (BID). – Malaysiapost

