
AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang sedang mencari pelajar yang dimarahi pensyarahnya gara-gara tidak mampu membeli komputer riba yang tular di media sosial.
Menurut Chee Heng, beliau menubuhkan tabung bantuan (crowdfunding) untuk membeli komputer riba buat pelajar tersebut.
“Kepada pelajar yang kena marah dengan profesor semester lima kerana masih tidak ada komputer. Kalau andalah orang berkenaan dan perlu komputer, kita crowdfunding untuk kamu.
“Prof marah pasal gelang emas kakak, mungkin Prof pernah nampak gelang emas kakak pakai, jangan-jangan emas tiruan sudahlah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Tambahnya, beliau memahami niat pensyarah berkenaan untuk memastikan pelajar berjaya, namun seharusnya jalan penyelesaian masalah dicari bagi membantu pelajar berkenaan.
“Sabar Prof, I tahu you nak student you baik. Sabar student, semua ujian Allah. Jangan kita viral dan burukkan Prof. Kita cari penyelesaian.
“Prof mungkin garang, tapi dia nak student yang sukses. Kalau anda kenal student tersebut, sila contact saya di talian 018-2683999.
“Kita cari penyelesaian, hidup ini sementara. Nak aibkan orang tidak perlu, kita bantu agar kubur kita indah selalu,” katanya lagi.
Terdahulu, tular klip video berdurasi satu minit 45 saat yang memaparkan situasi pembelajaran dalam talian di mana seorang pensyarah wanita memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba.
Dalam klip itu juga, beliau memberitahu agar pelajar tersebut meminta kakaknya menggadai barang kemas untuk membeli sebuah komputer riba.
Susulan itu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta UiTM menjelaskan berhubung video tular seorang pensyarahnya didakwa memperlekeh pelajar dari golongan B40.
Pada perkembangan sama, UiTM dalam kenyataan menegaskan telah meneliti isu video tular melibatkan seorang pensyarahnya yang mengeluarkan komen sensitif terhadap seorang pelajar yang dikatakan tidak mempunyai komputer riba.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor, pihak universiti mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Uncle Kentang
