Profesor hina golongan B40 tak layak jadi pensyarah universiti – MPPK

0
1

MAJLIS Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan seorang pensyarah yang dikatakan menghina golongan B40 tidak melambangkan sebagai pensyarah universiti yang mengutamakan golongan berkenaan.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, MPPK mengambil pendirian untuk membantah sebarang tindakan menghina pelajar yang keterlaluan seperti didakwa dilakukan pensyarah tersebut dalam video tular.

“MPPK mengambil maklum mengenai sebuah video tular melibatkan seorang pensyarah dan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Penghinaan beliau terhadap golongan B40 secara jelas tidak melambangkan beliau sebagai pensyarah sebuah universiti yang mengutamakan golongan B40.

“MPPK kesal tindakan menghina pelajar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu tular klip video berdurasi satu minit 45 saat yang memaparkan situasi pembelajaran dalam talian di mana seorang pensyarah wanita memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba.

Dalam klip itu juga, beliau memberitahu agar pelajar tersebut meminta kakaknya menggadai barang kemas untuk membeli sebuah komputer riba.

Justeru, Muhammad Amir menegaskan, pihaknya mendesak UiTM untuk mengambil tindakan yang proaktif dan rasional bagi memastikan isu tersebut diselesaikan dengan baik dan tidak berulang lagi di masa hadapan.

“Hal ini bagi memastikan imej UiTM sebagai sebuah universiti yang sentiasa berusaha untuk mengubah nasib golongan B40 akan terus terjaga selari dengan matlamat penubuhan UiTM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here