
KERAJAAN memberi pengecualian bayaran tol di kedua-dua pintu masuk Malaysia dan Singapura iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) sempena pembukaan semula sempadan laluan darat, bermula 1 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengecualian bayaran itu melibatkan tol di plaza-plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di kedua-dua pintu masuk sempadan negara.
“Pengecualian bayaran tol ini melibatkan semua jenis kenderaan selama tujuh hari, bermula 1 sehingga 7 April 2022. Ia selaras pendekatan untuk memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.
“Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, pemberian pengecualian bayaran tol itu melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza tol yang terlibat sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, keputusan tersebut turut mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lalu dan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua plaza tol tersebut dengan pembukaan sempadan laluan darat.
“Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Harian Metro
