PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan diberikan doktor termasuk ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.
Perdana Menteri menzahirkan penghargaan itu sempena Hari Doktor Sedunia yang disambut hari ini, menerusi Facebook.
Beliau berkata, jasa dan pengorbanan diberikan golongan itu cukup besar bukan sahaja dalam merawat bahkan meliputi soal menyelamatkan nyawa.
“Besar jasa dan pengorbanan para doktor yang bukan sahaja merawat tetapi menyelamatkan nyawa.
“Apatah lagi sumbangan mereka yang cukup berharga ketika dunia dilanda Covid-19, para doktor menjadi barisan hadapan yang setia mengorbankan masa dan tenaga demi kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyifatkan doktor sebagai hero Keluarga Malaysia yang akan diingati dan tersemat dijiwa rakyat.
“Terima kasih saya ucapkan kepada para doktor di seluruh Malaysia dan di mana juga anda berada. Kalian adalah hero Keluarga Malaysia yang sentiasa tersemat di hati dan jiwa kami semua,” katanya. – Malaysiapost

