Pejuang sedia jalin kerjasama dengan parti yang ‘bersih’ – Tun M

0
1

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Pejuang itu, kriteria utama dalam mewujudkan gabungan tersebut adalah parti-parti yang terlibat perlulah bersifat ikhlas dan bersih dari sebarang salah laku.

Tegasnya, Pejuang juga tidak akan bergabung dengan pihak yang masih mengamalkan kegiatan rasuah, kleptokrasi selain aktiviti membeli undi untuk kepentingan parti masing-masing.

Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui setakat ini Pejuang masih bergerak solo dan tidak mempunyai sebarang ikatan atau kerjasama dengan mana-mana parti ketika ini.

“Waktu ini kita tidak bergabung dengan sesiapa, kita sama-sama kita sahaja, kerana jika kita nak bergabung dengan orang, orang kena buat (dan ikut) cara dia, kita nak buat cara kita, kita cuma berjuang untuk orang Melayu supaya orang Melayu tidak meminta-minta kepada orang lain, kita ada kebolehan, itu perjuangan kita.

“Tetapi (apabila) datang orang parti lain dia nak bagi duit, beli undi situ, beli undi sini, itu kita tidak boleh (gabung), kita anggap beli undi itu satu jenayah, satu kesalahan, tetapi bagi orang yang bersih, kita sanggup kerjasama,” katanya seperti dilapor Awani, hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir turut menzahirkan harapan agar pengundi di Parlimen Langkawi tetap dengan pendirian untuk mengundi calon Pejuang di dalam PRU-15 tanpa mengira siapa calon yang diletakkan.

Ianya bagi memastikan perancangan serta pelan yang telah dan sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi memastikan kesejahteraan rakyat Langkawi.

Sebelum ini, media melaporkan ura-ura mewujudkan satu gabungan politik dikenali sebagai Gerakan Pejuang Nasional (GPN) yang diketuai Dr Mahathir.

Gabungan itu juga dijangkakan akan disertai beberapa parti termasuk Pejuang, Warisan, PAS, Bersatu dan Gerakan selain penyertaan tokoh-tokoh seperti Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Rafidah Aziz. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here