MPP UiTM desak pensyarah marah pelajar B40 diambil tindakan

0
1

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia mendesak pengurusan tertinggi universiti itu menyiasat dan mengambil tindakan berhubung kejadian seorang pensyarah memarahi pelajar kerana tidak mampu membeli komputer riba. 

Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd Hassan, berkata tindakan pensyarah terbabit yang menyelar pelajar golongan B40 telah mencemarkan imej universiti keramat itu. 

“Kenyataan dikeluarkan oleh pensyarah, Profesor Dr Ts Roshana Takim di dalam video yang tular malam tadi merupakan satu tindakan luar norma dan tidak beretika terhadap seorang mahasiswa. 

“Sejarah UiTM ini juga dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi. 

“Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B-40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pinak,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Rasydan berkata, pensyarah tersebut perlu memahami keadaan negara berhadapan dengan situasi pandemik yang menyebabkan hampir semua rakyat berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil. 

Sehubungan itu, beliau menggesa UiTM mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut . 

“Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah di zahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” katanya. 

Terdahulu, tular klip video berdurasi satu minit 45 saat yang memaparkan situasi pembelajaran dalam talian di mana seorang pensyarah wanita memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba. 

Dalam klip itu juga, beliau memberitahu agar pelajar tersebut meminta kakaknya menggadai barang kemas untuk membeli sebuah komputer riba. 

Susulan video tular itu, pensyarah terbabit dan laman sosial UiTM diserang netizen yang meminta penjelasan dan tindakan lanjut daripada universiti berkenaan berhubung kejadian itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here