KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan tempoh sekurang-kurangnya sebulan sebelum membuat keputusan sama ada amalan daftar masuk (check-in) ke mana-mana premis menerusi aplikasi MySejahtera, dihentikan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata KKM akan meneliti corak pergerakan dan jangkitan Covid-19 berikutan pembukaan sempadan negara dan kelonggaran dibenarkan mulai Jumaat ini.
“Sekiranya tiada perubahan ketara dalam tempoh beberapa minggu, kita boleh hentikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan, di kementeriannya, hari ini.
Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegaskan sudah tiba masanya amalan mengimbas kod MySejahtera setiap kali memasuki premis dihentikan ketika negara sedang memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April.
Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata, penggunaan aplikasi MySejahtera membolehkan pengesanan kontak rapat ketika pandemik berada pada kemuncaknya tetapi kini mungkin sudah melepasi kemampuan sebagai aplikasi pengesanan kontak rapat.
Beliau berkata, fungsi pengesanan kontak rapat dalam aplikasi MySejahtera tidak lagi berkesan seperti pada fasa awal pandemik Covid-19.
Katanya, ia berikutan kes jangkitan yang tinggi dalam komuniti direkodkan ketika ini.
“Dengan bilangan kes positif dalam kalangan kita yang tinggi, pengesanan kontak tidak lagi boleh digunakan pada skala luas kerana ia tidak akan memberikan hasil yang diharapkan,” katanya. – Malaysiapost

