Usahasama dengan Baladna bakal wujukan 2,000 peluang pekerjaan – PM

0
1

PROJEK usahasama antara Felcra Bhd (FELCRA), FGV Holdings Bhd (FGV) dan Baladna Food Industries (Baladna) yang merupakan pembekal makanan dan produk tenusu di Qatar dijangka akan ditandatangani pada Jun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketiga-tiga syarikat berkenaan sudah menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) pada Ogos 2021.

“Baladna ialah syarikat Qatar yang terbesar dalam membekal makanan dan produk tenusu dan ia berpotensi menjadi rakan kongsi FELCRA dan FGV dalam projek usaha sama pembangunan ladang tenusu berskala besar di Chuping, Perlis (NCER).

“Disasarkan penghasilan 208.8 juta liter susu segar setahun berasaskan lebih 14,000 ekor lembu tenusu. Baladna, FELCRA dan FGV telah menandatangani MoC untuk mengkaji kebolehlaksanaan projek usaha sama pada Ogos 2021.

“Usaha sama ini melibatkan nilai pelaburan RM4 billion dan bakal mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan dan perjanjian dijangka ditandatangani pada Jun tahun ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri kini berada di Qatar untuk lawatan rasmi selama tiga hari dan antara jadual lawatannya adalah ke Ladang Baladna, yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara Doha.

Menurut Ismail Sabri, lawatan ke Ladang Baladna milik Baladna Food Industries pada hari kedua lawatannya disambut Pengerusi Kumpulan Baladna Food Industries Moutaz Al-Khayyat dan Pengarah Urusannya Ramez Al-Khayyat.

Beliau berkata, ia kemudian disusuli dengan lawatan ke pusat pengeluaran susu lembu Holstein berkualiti Baladna.

Sementara itu, beliau juga melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha.

“Dalam satu majlis kemudian, saya menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah USD360 juta daripada pengerusi syarikat Ahmed Hussain Al-Khalaf,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here