Umno mahu undang-undang lompat parti disegerakan 

0
1

UNDANG-UNDANG Anti-Lompat Parti perlu disegerakan demi memastikan mandat rakyat tidak dikhianati dan memulihkan keyakinan awam, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Presiden Umno itu menegaskan, sokongan dua pertiga di Parlimen diperlukan bagi pindaan Perlembagaan tersebut. 

Maka katanya, sesi persidangan khas Dewan Rakyat pada Ramadan ini perlu jelas dan tegas untuk membentang dan meluluskan rang undang-undang (RUU) tersebut.  

“Bukan senang untuk membentang rang undang-undang lompat parti di Parlimen. Lebih-lebih lagi melibatkan ahli Parlimen  yang pernah melompat parti kini berada di Dewan Rakyat.  

“Namun inilah cabaran Umno untuk memastikan parti politik dan pembangunan akan terus stabil. Sudah pasti ini memerlukan komitmen tinggi kalangan semua wakil rakyat.  

“Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pernah mengalami pengalaman pedih apabila dikhianati wakil rakyat sendiri yang melompat ke parti lain demi mengejar jawatan, menyelamatkan diri, kuasa dan kedudukan serta apa-apa jua atas nama keselesaan diri,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Sehubungan itu Ahmad Zahid berkata, sesi libat urus dengan pihak kepentingan perlu disegerakan dan tindakan melambat-lambatkan kelulusan akan memberi mesej buruk kepada rakyat.  

“BN dan PH secara bipartisan bergerak ke depan untuk membawa Malaysia ke arah kestabilan politik dan perlu disokong semua. 

“Umno terus memperjuangkan transformasi politik yang progresif, dinamik dan pro aktif demi menyuburkan amalan demokrasi dan kemakmuran negara,” katanya. 

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembentangan RUU Anti Lompat Parti akan diadakan pada 11 April ini dalam satu sidang khas Parlimen. 

Katanya, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3) dan juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here