Pegawai JAKIM dipilih imam solat terawih di Universiti Oxford

0
1

PEGAWAI Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan dipilih sebagai salah seorang Imam Solat Terawih sepanjang Ramadhan di Pusat Islam, Universiti Oxford di United Kingdom.

Dr Amru Al Haz Adnan adalah bekas pelajar Darul Quran JAKIM sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar di peringkat ijazah sarjana muda dan Universiti Malaya pada peringkat ijazah sarjana serta Doktor Falsafah.

“Selain memimpin solat terawih sepanjang Ramadan, saya diminta menjadi tenaga pengajar asas tahfiz Al Quran di sana,” kata bekas Timbalan Imam Besar Masjid Negara itu seperti dipetik di media sosial JAKIM semalam.

Dr Amru juga adalah bekas Pensyarah Darul Quran JAKIM.

Program penghantaran imam Ramadan dan Aidilfitri dibuat menerusi kerjasama JAKIM dan Pusat Islam Oxford hasil inisiatif dan persetujuan bersama Felo di Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr Afifi Al Akiti merangkap Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Negeri Perak.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyifatkan program tersebut adalah satu pencapaian dan pengiktirafan universiti terbaik dunia kepada JAKIM dan Malaysia.

“Ia menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di peringkat antarabangsa,” katanya yang turut hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengucapkan selamat berlepas kepada Dr Amru semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here