VETERAN Umno Malaysia mengalu-ngalu dan menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung langkah kerajaan untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu antarabangsa yang akan digunakan didalam semua persidangan dan forum diperingkat antarabangsa.
Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub, berkata pengumuman yang dibuat semasa menggulung perbahasan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 pada 19 Mac lalu amat ditunggu-tunggu oleh pendokong dan pejuang Bahasa Melayu dinegara ini.
Menurutnya, langkah meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (SBP) juga dilihat sebagai usaha memperkuatkan lagi peranan DBP dalam perlaksanaan penguatkuasaan akta itu bagi mencapai maksud yang diumumkan
“Ianya wajar kerana sebelum Bahasa Melayu diguna diperingkat antarabangsa maka penggunaannya didalam negara mesti terlebih dahulu diperkemaskan.
“Penggunaan bahasa rojak yang diamalkan sekarang hendaklah dihentikan. Nama-nama syarikat, projek dan segala urusan yang berkaitan dengan perniagaan dan komersial mesti di Bahasa Melayukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti diberi kuasa untuk melaksanakan undang-undang yang mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu didalam semua projek swasta sebelum kelulusan.
Menurutnya, diperingkat antarabangsa pula, Wisma Putra mesti mengarahkan semua duta-duta dan peseruhjaya-pesuruhjaya melaksanakannya.
“Penggunaan Bahasa Melayu ini tidak akan menjejaskan kredibiliti Malaysia kerana dunia tahu diplomat kita mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.
“Wisma Putra juga mampu menyediakan jurubahasa yang mahir sebagai penterjemah yang berkelayakan dan profesional
“Lihat sahaja ketua-ketua negara Jepun, China, Arab, Korea, Vietnam, Kemboja, Perancis, negara-negara Balkan dan banyak lagi yang dengan bangganya mengguna bahasa ibunda mereka walaupun mereka fasih berbahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata, oleh itu Veteran Umno menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk memperkasakan Bahasa Melayu dan berharap ianya dapat dilaksanakan segera.
“Veteran juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah mengambil langkah pro-aktif dengan menggunakan Bahasa Melayu didalam pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja dan Vietnam baru-baru ini,” katanya. – Malaysiapost

