BANDAR raya Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam serta beberapa bandar lain akan mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang hari ini.
Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami fenomena tersebut pada jam 1.19 tengah hari manakala bandar raya Shah Alam pada jam 1.20 tengah hari.
Sehubungan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata orang ramai digalak keluar rumah lebih awal untuk memerhati perubahan bayang-bayang sendiri atau bayang-bayang objek lain sekitar kawasan.
Menurutnya, fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang merupakan susulan Peristiwa Ekuinoks pada Isnin lalu apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.
Katanya, semasa Peristiwa Ekuinoks, seluruh dunia mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.
“Peristiwa Ekuinoks juga menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan bumi akan mula mengalami musim turuh.
“Fenomena ini dipanggil fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang di atas sepanjang garisan khatulistiwa.
“Bayang kepala dan badan akan terjatuh ke tapak kaki seolah-olah tiada bayang yang jatuh ke bumi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Namun begitu, Adham berkata, kedudukan Malaysia yang berada agak sedikit ke utara daripada garisan khatulistiwa menyebabkan Malaysia tidak mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang pada 21 Mac lalu.
Katanya lagi, Malaysia telah mula mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang pada 23 Mac lalu di bandar Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor.
Ini diikuti bandar-bandar lain pada tarikh berikutnya sehinggalah ke bandar terakhir iaitu Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April 2022.
“Selepas 7 April 2022, matahari akan semakin teranjak ke latitud-latitud lebih ke utara iaitu ke negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja,” katanya. – Malaysiapost

