TCA akan diperkembangkan kepada agensi lain – Hishammuddin

0
1

MESYUARAT Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina yang diadakan hari ini berjalan lancar dan dalam suasana saling mempercayai dan memahami antara ketiga-tiga negara jiran berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, tiga persetujuan dicapai bersama rakan sejawatnya Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N. Lorenzana dalam mesyuarat itu.

“Pertama, TCA akan dikembangkan melangkaui bidang pertahanan dengan menggabungkan pendekatan pelbagai agensi secara berkesan, yang kami rasa harus melibatkan kementerian dan agensi lain yang berkaitan.

“Kedua, untuk mempercepatkan penempatan Pegawai Perhubungan Peronda Maritim Tiga Hala (TMP LO) tetap di Pusat Pemerintahan Maritim setiap negara bagi membolehkan pertukaran maklumat, pemantauan dan pelaksanaan aktiviti pengawasan maritim dan udara yang berkesan.

“Ketiga, memastikan penekanan yang lebih besar dalam perisikan untuk operasi pengawasan masa depan untuk meningkatkan produktiviti dan ketepatan dalam mengekang aktiviti perhubungan jenayah-keganasan di rantau ini,” katanya dalam sidang media yang turut disertai Prabowo dan Lorenzana, hari ini.

Menurutnya, selain itu ketiga-tiga pihak juga bersetuju memberi mandat kepada pegawai kanan masing-masing untuk mengambil beberapa tindakan lanjut yang telah dipersetujui.

“Antaranya iaitu, menginstitusikan Mesyuarat Peringkat Menteri TCA yang akan diadakan sekurang-kurangnya setiap tahun untuk meningkatkan penglibatan dan komitmen strategik di kalangan ketiga-tiga negara.

“Meningkatkan kehadiran di laut, secara berkesan menguatkan gabungan kekuatan untuk menghalang ancaman keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi serta menerokai potensi latihan berasaskan darat yang akan diterajui oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Hishammuddin berkata, TCA menyediakan platform yang tidak ternilai dalam hubungan tiga hala khususnya dalam kerjasama pertahanan dan pertukaran pandangan tentang situasi keselamatan serta mengurangkan pelbagai ancaman rentas sempadan.

“Saya ingin menekankan bahawa TCA telah, dan sedang bertindak sebagai penghalang terhadap ancaman jenayah keganasan di Laut Sulu dan Sulawesi.

“Sebagai contoh, bukti kejayaannya ialah tiada insiden penculikan untuk tebusan (KFR) yang dilaporkan pada tahun 2021 dan ini membuktikan bahawa kerjasama keselamatan serantau yang kukuh adalah cara yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, usaha memastikan keselamatan serantau adalah yang paling utama dan kini lebih kritikal apabila memasuki era pasca pandemik, namun beliau percaya bahawa kejayaan TCA akan mengukuhkan lagi hubungan antara tiga negara.

Sementara itu, Prabowo menyifatkan Malaysia dan Filipina adalah rakan rapat yang mempunyai kepentingan dan ancaman yang sama di rantau ini.

“Oleh itu, TCA ini sangat penting dan strategik serta perlu diperkukuhkan lagi,” katanya.

Lorenzana pula berpendapat, TCA sangat berjaya dan tiba masanya ia dipertingkatkan dengan membabitkan agensi serta kementerian lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here