SULTAN Kelantan berbangga dengan prestasi kewangan kerajaan negeri tahun lalu dan sebelumnya yang menunjukkan pengukuhan serta berdaya tahan, walau beroperasi dalam ekosistem persekitaran ekonomi lebih mencabar akibat Covid-19.
Sultan Muhammad V bertitah, kerajaan Kelantan melalui dasar kewangan komprehensif berjaya mengawal perbelanjaan mengurus berdasarkan keutamaan perbelanjaan.
Ia memberi impak terus kepada rakyat melalui projek ‘people-centric’ seperti pembinaan atau pembaikan Rumah Dhuafat, bantuan Al-Musa’adah dan rumah mampu milik di Badang, Kota Bharu.
“Beta ingin menzahirkan dan merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Kelantan yang berjaya mencapai prestasi akaun semasa kerajaan negeri pada 2021 dengan mencatat lebihan sebanyak RM47.61 juta berbanding tahun 2020.
“Pencapaian ini dicatatkan selama lima tahun berturut-turut,” titah Baginda menerusi Titah Ucapan Diraja dibacakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, hari ini.
Titah baginda, peningkatan perbelanjaan pembangunan setiap tahun melebihi RM152 juta memberi gambaran kerajaan membelanjakan sejumlah wang bagi perbelanjaan modal untuk kesejahteraan rakyat terutama bagi projek infrastruktur dan kemudahan asas.
“Pembangunan infrastruktur yang sempurna adalah nadi kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri.
“Beta menaruh harapan dengan adanya pembinaan seperti Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dapat mewujudkan rangkaian lebuh raya menyeluruh yang bertindak sebagai tulang belakang kepada sistem pengangkutan Wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” titah baginda.
Sultan Muhammad V turut prihatin supaya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat memberi tumpuan khusus kepada Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), memandangkan Kelantan terdedah bencana banjir sejak dulu.
“Ia merangkumi Projek Empangan Sungai Lebir yang berfungsi sebagai projek tebatan banjir, bekalan sumber air, pengairan pertanian dan ekopelancongan, selain sebagai sumber penjanaan elektrik.
“Beta juga berharap kerajaan dapat memperkasakan usahawan dalam kategori ‘perniagaan di rumah’ dan mikro ini dengan menyediakan lebih banyak bantuan seperti bantuan peralatan, kursus bimbingan dan khidmat nasihat.
“Belia digalak mengambil peluang yang ada dengan perkembangan teknologi berasaskan internet sebagai platform niaga,” titah baginda. – Malaysiapost

