Tian Chua tidak pertahankan jawatan Naib Presiden PKR

0
1

TIAN CHUA mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti itu, Mei ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, tidak akan bersara daripada politik dan akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Batu.

Katanya, tindakan tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR adalah usahanya untuk menurunkan suhu politik dalam parti berkenaan berikutan saingan sengit merebut jawatan itu.

“Saya adalah antara empat naib presiden tetapi, seperti yang kita tahu, tiga daripada mereka telah pergi.

“Saya adalah satu-satunya penyandang yang tinggal, tetapi saya memberi laluan untuk mengelakkan parti berdepan pemilihan yang sukar pada Mei.

“Apa yang anda boleh lihat, suhu semakin meningkat dalam parti ketika pemilihan semakin hampir. Ini tidak bagus untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya dipetik FMT, hari ini.

Tiga Naib Presiden lain adalah Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatan pada 2018 manakala Zuraida Kamaruddin meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton pada 2020.

Sementara, Xavier Jayakumar pula memilih untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.

Tian Chua menjelaskan, beliau kemungkinan besar bertanding di kerusi Parlimen Batu, yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013.

Bagaimanapun, Tian Chua gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya lalu kerana hilang kelayakan susulan pencalonannya ditolak kerana denda RM2,000 daripada kes mahkamah yang telah dibayarnya pada 2010.

“Saya kini menumpukan usaha untuk membina sokongan akar umbi sebagai persediaan menjelang PRU15 yang pastinya diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang. Kita tidak banyak masa dan saya berharap ahli PKR sedar bahawa PRU lebih penting,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here