KERAJAAN bakal mengumumkan kos baharu pengambilan pembantu rumah dari Indonesia selepas memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bulan depan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kos RM7,800 yang dimaklumkan sebelum ini berdasarkan persetujuan Kumpulan Kerja Bersama Kesembilan pada September 2013 dalam MoU yang berakhir 2016.
“Itu adalah kos lama berdasarkan MoU yang sudah tamat pada 2016. Memorandum pekerja domestik Indonesia yang baharu dijadualkan ditandatangani kedua-dua negara (Malaysia-Indonesia) di Jakarta pada awal April ini.
“Jadi, struktur kos pengambilan domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU ini ditandatangani,” katanya dipetik Berita Harian.
Awang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia atas beberapa faktor.
“Tidak semestinya naik dan tidak semestinya turun, kita akan semak semula dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada 23 Mac lalu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, kos mengambil pembantu rumah Indonesia dihadkan kepada RM15,000 dan ia perlu ditanggung majikan di bawah perjanjian baharu yang dijadualkan dimeterai bulan depan. -Malaysiapost

