PEKEBUN kecil getah Risda mungkin boleh mendapat manfaat sekiranya kerajaan persekutuan membenarkan eksport daun ketum ke luar negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata sekiranya eksport ketum menjadi sah di sisi undang-undang, tidak menjadi kesalahan bagi pekebun kecil getah untuk menjana pendapatan tambahan dengan menanam tumbuhan itu.
“Kalau sudah sah dan boleh ada pendapatan, kenapa tidak? Kalau jual satu kilogram daun ketum boleh dapat pendapatan berpuluh-puluh ringgit dan dari segi undang-undang ia pula sah, jadi saya fikir tak menjadi kesalahan,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmur 2022 Padang Terap di Kuala Nerang, Kedah, hari ini.
Mahdzir mengulas cadangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini yang meminta kerajaan persekutuan membenarkan negeri itu mengeksport daun ketum khususnya Thailand bagi tujuan perubatan.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan perlu membuat keputusan mengenai status ketum memandangkan sudah banyak kajian telah dilakukan mengenai manfaat daunnya untuk perubatan.
“Tapi perkara itu biarkan Kementerian Kesihatan yang uruskan. Cumanya saya fikir sampai masanya nanti kita tengok bagaimana keputusan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

