PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengimbau sejarah tiga pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibubarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejurus Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau berkata, idea mewujudkan tiga pasukan tersebut iaitu Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) tercetus ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.
Katanya, ia bertujuan untuk melawan dan melumpuhkan habis-habisan jenayah terancang di Malaysia dengan memburu serta menangkap jerung-jerung yang menjadi dalang.
“Namun sejurus kerajaan Barisan Nasional umbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018, kerajaan 22 bulan mengarahkan pembubaran ketiga-tiga skuad elit ini,” katanya dalam hantaran Facebook bersempena Hari Polis Ke-215 hari ini.
Ahmad Zahid berkata, PDRM merupakan pasukan keselamatan sangat dekat di hatinya kerana pelbagai memori semasa bertugas sebagai Menteri Dalam Negeri masih tersemat rapi dalam sanubarinya.
Ujarnya, jiwa beliau sehingga hari ini masih dapat merasai serta menyelami betapa besar jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan itu dalam memastikan rakyat terus hidup aman dan sentosa.
“Betapa besar sumbangan mereka pada setiap hari, siang dan malam bagi memastikan ketenteraman serta keharmonian masyarakat negara ini sentiasa terjamin.
“Sambutan Hari Polis setiap 25 Mac turut mengimbau pengalaman sangat bermakna bagi diri saya dalam menambah baik perkhidmatan pasukan itu kepada negara dan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

