Shahrir Samad pelik kenapa MUDA tak bertanding di Muar

0
1
shahrir samad

WALAUPUN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dua minggu berlalu, veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak meletakkan calonnya di kerusi-kerusi di bawah Parlimen Muar.

Ini kerana menurut bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, Muar adalah kawasan Parlimen diwakili Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman yang tentunya memiliki kekuatan tersendiri.

“Buat masa ini, komen saya tentang penyertaan MUDA dalam PRN Johor ialah saya merasakan agak pelik mengapa MUDA tidak meletakkan calon-calonnya di DUN-DUN di kawasan Parlimen Muar.

“Peliknya begini. Ahli Parlimen Muar adalah YB Syed Saddiq sendiri dan tentunya kewibawaannya cukup kuat untuk menangkan calon-calon tajaan pemimpin tertinggi MUDA itu.

“Kalau pun Syed Saddiq tak bertanding di DUN seperti Mas Ermieyati (Samsudin) pada PRN Melaka dan Dr Mazlee (Malik) pada PRN Johor, sekurang-kurangnya boleh meletakkan proksi bagi kawasan-kawasan DUN bawah Parlimen Muar.

“Mungkin strategi seorang ketua?,” soalnya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Shahrir berkata, walaupun sudah dua minggu PRN Johor berlalu, masih ada rakan-rakan bertanya kepadanya mengenai kesan pilihan raya tersebut.

Menurutnya, antara perkara yang diminta pandangannya tentang MUDA yang menyertai PRN Johor, seiring julung kalinya pengundi berusia 18 tahun ke atas mendapat hak mengundi.

Tambahan pula katanya, seorang calon parti itu telah menang di DUN Puteri Wangsa.

“Adakah kemenangan ini, mereka bertanya kepada saya, disebabkan oleh pengundi muda? Jawapan kepada soalan sama ada MUDA berjaya menguasai undi orang muda mungkin perlu melihat kepada trend pengundian di saluran pengundi muda.

“Bagi saya, analisa ini belum lagi saya lakukan secara terperinci bagi kedua-dua DUN di bawah UMNO Johor Bahru.

“Jadi buat masa ini, saya hanya mampu memberi jawapan secara umum sahaja. Mungkin apabila dibuat analisanya, saya boleh memberi dapatannya,” katanya.

Pada PRN Johor 12 Mac lalu, MUDA menang satu daripada enam kerusi ditandinginya iaitu menerusi Amira Aisya Abd Aziz di DUN Puteri Wangsa.

Amira Aisya yang juga Setiausaha Agung MUDA memperoleh 18,891 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ng Yew Aik yang meraih 14,362 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong memperolehi 7,914 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here