Nanti saya bentang laporan mengenai Sapura – Rafizi

0
1

NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli memaklumkan beliau akan membentangkan secara terperinci isu melibatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Rafizi yang diasak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan pandangannya berkaitan isu tersebut menjelaskan beliau sedang meneliti secara lebih mendalam masalah dihadapi konglomerat minyak dan gas itu.

Pada masa sama, beliau menyindir pengendali akaun Facebook Najib kerana didakwa ‘gelabah’ dalam mengutarakan pandangan berhubung isu Sapura Energy Berhad.

“Banyak betul posting dan jelas itu bukan kepala otak dar Najib sendiri. Rasanya Najib panik dan marah kat admin (Facebook Najib Razak).

“Saya sedang baca beribu-ribu muka surat laporan mengenai Sapura untuk hadam. Insya-Allah nanti saya bentangkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Baru-baru ini Najib mengingatkan Rafizi supaya tidak lupa untuk mengeluarkan ‘formula’ dalam setiap maklum balasnya terhadap idea bekas Perdana Menteri itu.

Najib berkata demikian susulan kenyataan Rafizi yang menegaskan akan memberi maklum balas setiap ‘idea songsang’ Najib sebaik beliau kembali ke arena politik.

Terdahulu Rafizi menolak saranan Najib untuk menggunakan wang rakyat bagi menyelamatkan Sapura Energy Berhad.

Selain itu, Rafizi menegaskan akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari yang seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Najib.

Najib kemudian membalas ‘serangan’ Rafizi yang disifatkan sebagai fakta dikutip dari longkang.

Menurut Najib, kenyataan Rafizi bahawa kerajaan telah menyuntik berbilion-bilion ringgit ke dalam Sapura Energy Berhad sejak satu dekad lalu tidak tepat kerana ia tidak pernah berlaku.

Katanya, sebaliknya ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan hanya Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyuntik wang ke dalam Sapura. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here