Sempadan laluan darat Malaysia-Singapura dibuka semula mulai 1 April

0
2

MALAYSIA dan Singapura membenarkan pengembara yang lengkap vaksinasi merentas sempadan kedua-dua negara mulai 1 April ini, tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Menerusi kenyataan bersama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong berkata kebenaran tersebut terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Keputusan itu dicapai ketika Ismail Sabri mengadakan panggilan telefon bersama Hsien Loong hari ini.

“Kedua-dua Perdana Menteri mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik Covid-19 bagi penduduk negara masing-masing.

“Perdana Menteri Ismail Sabri dan Hsien Loong turut mengambil maklum atas kemajuan dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat).

“Sejajar peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik Covid-19, kedua-dua pemimpin bersetuju sudah tiba masanya untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April ini, seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara.

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here