PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah isteri dan anak-anak.
Presidennya PGSM, Musa Awang, berkata cadangan tersebut bagi mengelak masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.
”Amalan sekarang ini, satu persatu kes difailkan ke mahkamah, iaitu diselesaikan kes perceraian terlebih dahulu kemudian barulah difailkan tuntutan nafkah iddah dan nafkah anak-anak.
“Tuntutan nafkah akan memakan masa yang lama sekiranya ada pertikaian antara pihak-pihak berhubung jumlah atau kadar nafkah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Musa berkata, tuntuan perceraian di Mahkamah Syariah tergolong dalam tiga kategori iaitu pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah; perceraian dengan talak atau perintah (Seksyen 47 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam).
Katanya, seterusnya perceraian secara taklik (berdasarkan taklik surat nikah) atau fasakh (pembubaran perkahwinan dengan perintah Hakim), li’an dan lain-lain.
“Berdasarkan peruntukan undang-undang, nafkah anak-anak boleh dituntut samada suami isteri telah disahkan bercerai atau belum bercerai.
“Seksyen 72 Akta/Enakmen UndangUndang Keluarga Islam menyatakan kewajipan seorang bapa menanggung nafkah anakanaknya berupa tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran (yang munasabah), samada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya suami (bapa) bersetuju dengan kadar nafkah yang dicadangkan oleh isteri (ibu) atau mungkin lebih sedikit daripada jumlah yang dicadangkan berdasarkan kemampuan suami, maka dengan persetujuan itu mahkamah boleh memerintahkannya sebagai perintah.
Katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengeluarkan Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 5 Tahun 2019 – Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak yang boleh dijadikan panduan Hakim Syariah dalam membuat penentuan kadar nafkah yang munasabah.
“PGSM optimis cadangan Perdana Menteri ini boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya mendapat kerjasama semua pihak yang terlibat samada di pihak litigan, Mahkamah Syariah termasuk Peguam-Peguam Syarie, dengan meletakkan matlamat memberikan keadilan sebagai keutamaan,” katanya. – Malaysiapost

